Bhg 3 – Abuya Ashaari Muhammad Menepati Ciri-ciri Mujaddid

10. Mendapat ilham dan isyarat-isyarat ghaib termasuk mimpi benar.

Abuya selalu didatangi Rasulullah dan juga Imam Mahdi untuk mengajarkan bagaimana menghadapi persoalan dalam perjuangan serta memberi ilmu-ilmu dan panduan-panduan, apatah lagi ilmu bagi mempersiapkan jemaah.

Kedatangan kedua-duanya ini adalah pengalaman beliau melalui tiga cara:

i. Rasa hati yang kuat untuk bertindak.

ii. Dijatuhkan ke hatinya ilmu. Bila dicakapkan bukan hasil
fikiran. Malah Abuya pun belajar dari situ.

iii. Berbual-bual secara jaga dengan Rasulullah dan Imam Mahdi.

Hasil perbualan membawa jemaah Abuya makin maju di bidang insaniah dan material. ltulah bukti bahawa semuanya bukan dari syaitan seperti yang dituduhkan. Masakan syaitan membawa orang kepada Allah.

Seorang syeikh tarekat dari Iraq, Syeikh Abdul Jabbar, Abuya mendapat tahu melalui ilham dari Rasulullah SAW bahawa orang itu adalah salah seorang daripada orang kuat Imam Mahdi yang akan ikut membawa kebangkitan Islam di akhir zaman.

Maka Abuya pun menghantar wakilnya untuk berjumpa beliau. Apabila bertemu saja, belum bercakap apa-apa lagi, Syeikh Abdul Jabbar telah berkata kepada wakil Abuya:
 
“Kejayaan kamu sampai ke sini, adalah hasil rundingan
saya dengan Syeikh Malaysia (Abuya).”

Walhal secara zahirnya Abuya belum pernah berjumpa dengannya.

Syeikh Abu Mush’ab, seorang syeikh tarekat di Jordan telah menunjukkan buku catatan beliau kepada Abuya Ashaari Muhammad ketika Abuya berada di Jordan.

Di dalamnya bertulis:

“Ashaari bin Muhammad pembawa kebangkitan di Timur, akan datang ke Jordan.”

‘Mesej’ itu diterimanya dari Rasulullah dan Imam Mahdi sebelum kedatangan Abuya ke Jordan.

Syeikh Abdussalam Al Harras, syeikh tarekat dari Maghribi memberitahu Abuya ketika Abuya ke Maghribi pada tahun 1986:

“Kenapa kamu datang ke mari? Kebangkitan Islam di
tempat kamu. Buktinya ialah kamu yang bawa Islam ke mari.”

Beliau berkata bahawa Rasulullahlah yang memberitahunya sebelum Abuya tiba ke rumahnya itu.

Syeikh Abdul Nasir dari Mekah datang kepada Abuya di Malaysia pada tahun 1996 dan memberitahu bahawa orang-orang Imam Mahdi sedang giat mempersiapkan kedatangannya dan Abuya adalah orangnya di Timur. Mesej itu katanya diberitahu padanya oleh Rasulullah.

Bermula pada tahun 1985, Abuya bersama rombongannya keluar negara dan tidak balik-balik selama tujuh tahun, setelah mendapat alamat bahawa ada ancaman terhadap Abuya dari pihak tertentu dikeranakan pengaruh Abuya yang sudah membesar.

Pada hari pertama tiba di Amman, Jordan, Abuya telah didatangi oleh lima lelaki Arab yang memperkenalkan diri mereka sebagai kumpulan Muntazirun. Tanpa perkenalan  apa-apa mereka terus bertanya Abuya:

“Kamu yakin dengan Imam Mahdi?”

Abuya mengangguk mengiyakan.

“Kamu tahu dalam hal Imam Mahdi ini ada nas-nas dalam
Al Quran?”
tanya mereka lagi.

Abuya tergamam kerana setahu Abuya, nas tentang Imam
Mahdi hanya ada dalam Hadis. Al Quran tidak!

Belum sempat Abuya menjawab, ketua kumpulan itu berkata,

“Tentu kamu tahu, Al Quran ada menceritakan perihal ibu Nabi Musa yang Allah masukkan ke dalam hatinya rasa yang kuat untuk meletakkan peti kurungan anak kecilnya ke dalam Sungai Nil. Itu saja dirasakannya jalan selamat dari dibunuh oleh Firaun. Maka dia pun memasukkannya dan betul selamat. Walhal kalaulah rasa hatinya itu dibawa berbincang dengan keluarga terlebih dahulu, tentu ramai tidak setuju kerana tidak mungkin peti itu boleh selamat dalam air.”

Apa yang di dalam hati kamu sekarang tentang Imam Mahdi itu, adalah rasa yang Allah masukkan seperti yang berlaku kepada ibu Nabi Musa itulah. Bahawa kamu terlalu yakin untuk mendedahkan tentang Imam Mahdi dan kamu yakin selamat. Walhal hari ini semua orang tahu bahawa amat bahaya bagi seseorang yang memperjuangkan Imam Mahdi seperti yang kamu lakukan ini. Yahudi sanggup membunuh siapa pun yang mengaku Imam Mahdi bahkan bayang Imam Mahdi pun akan dibunuh. Ertinya pejuang-pejuang Imam Mahdi tidak akan selamat.”

Syeikh itu menyambung,

“Rasa hati seperti ini, kalau diberi kepada seorang nabi dan rasul, itulah wahyu. Tapi manakala diberi kepada seorang yang bukan nabi dan rasul, seperti ibu Nabi Musa dan seperti yang kamu sedang alami, ia disebut ilham. Yakni rasa hati yang kuat, yang menutup akal dari memikirkannya dan memaksa kamu bertindak.”

Dia bertanya lagi kepada Abuya,
“Apakah kamu bertemu
dengan Imam Mahdi?”

Abuya tunduk agak lama. Akhirnya Abuya jawab,
“Itu rahsia saya.”

Muntazirun itu senyum dan berkata,
“Kami faham!”

Perihal keyakinan Abuya tentang Imam Mahdi ini pernah ditanyakan oleh isterinya, Khadijah Aam (Ummu Jah), kepadanya ketika beliau dalam ‘pelarian’nya di luar negara,

“Mengapa Abuya tidak boleh bertolak ansur dengan kerajaan dalam hal Imam Mahdi ini? Bukankah ia hanya perkara khilafiah. Sedangkan mempertahankannya Abuya terpaksa berpisah dengan keluarga, negara dan budaya.”

Abuya dengan marah berkata,
“Pemimpin besar nak datang, kamu suruh diamkan?”

Begitulah sekali seriusnya Abuya memperjuangkan Imam Mahdi ini.


Memang sampai hari ini, walaupun di-ISAkan, dihancurkan jemaahnya dan difatwakan sesat oleh negara, namun Abuya dapat melepasinya dan bangun kembali dengan selamatnya. Ini menjadi satu kejutan besar kepada rakyat Malaysia khususnya dan dunia amnya. Maka ramailah yang semakin yakin bahawa Abuya ada masa depan kerana mana mungkin pejuang yang kena dua kali ISA dapat meneruskan perjuangannya jauh lebih hebat dan besar dari sebelumnya.

Bahkan waktu Abuya sakit teruk, perjuangannya makin diterima orang dalam negara. Ini tidak mungkin berlaku kalau tidak dibacking oleh Allah melalui dua orang kekasih-Nya, Rasulullah dan Imam Mahdi.

Umat Islam sepatutnya sangat alim perihal peristiwa akhir zaman ini. Sedangkan Yahudi sangat alim perihal Hadis dan Al Quran yang jelas mengisyaratkan semua peristiwa yang bakal berlaku ini. Tapi Yahudi berjaya memutar-belitkannya sehingga umat Islam sendiri memusuhi semua khazanah ini.

11. Hati manusia berubah olehnya

Abuya didatangi manusia-manusia yang meminta pimpinannya kerana kemampuannya memimpin dan mendidik nafsu dan hati-hati manusia.

Abuya mengajarkan sembahyang itu agung dan mampu membina peribadi yang  agung. Lalu pengikutnya dipimpin secara rohiyah, agar memahami dan menghayati lahir dan batin solat-solat mereka hingga sudah ada murid-muridnya yang berubah daripada peribadi asal.

Abuya bersihkan fahaman-fahaman sekular mengenai Islam kepada satu kefahaman yang berteraskan Tuhan. Abuya merubah seseorang yang biadab dengan ibu bapa kepada kembali berbakti, berkhidmat penuh hormat dan memuliakan ibu bapa. Abuya menyelamatkan remaja-remaja yang sudah liar dengan rokok, ternan wanita, pakaian menjolok mata, salah guna dadah, arak dan semua gaya hidup syaitan yang merosakkan dengan cara menanamkan ke hati mereka kepercayaan kepada Tuhan.

Abuya merupakan tokoh utama yang mencetuskan budaya menutup aurat di kalangan wanita-wanita di Malaysia. Beliau membuatkan isteri-isteri menjadi taat, hormat dan mampu meletakkan suami sebagai pemimpin dalam rumah tangga. Abuya menyelamatkan banyak keluarga yang bermasalah secara nasihat dan didikan.

Abuya mampu menukar wanita-wanitanya daripada takutkan poligami kepada sanggup berpoligami lantaran melihat kebaikan-kebaikan dan manfaat yang amat besar daripadanya di sisi Tuhan. Bahkan semua anak perempuannya pun dipoligamikan. Anak-anak hasil poligami itu pula saling menyayangi sesama mereka dan saling menghormati ibu tiri mereka.

Abuya kembalikan orang-orang yang telah terlanjur, ke jalan Tuhan. Abuya wujudkan dalam jemaahnya golongan artis, pelakon, penasyid, pengarah, pemuzik dan lain-lain yang mana gaya hidup mereka semuanya mengikut syariat.

12. Mendapat rezeki dari sumber yang tidak diduga

Terlalu yakin dengan adanya peranan Tuhan yang Maha Kaya dalam membantu kebangkitan Islam. Abuya bangunkan perjuangannya betul-betul bermodalkan Tuhan. Telah dibuktikan oleh beliau, setiap pejuang yang sanggup baiki diri dengan taqwa, sembahyang malam, bertaubat, tebus dosa (bersedekah), berkasih sayang, wirid, doa maka nescaya Allah akan tunaikan janji-Nya.

Abuya Ashaari Muhammad dilihat begitu kaya, namun dia sebenarnya boleh disenaraikan sebagai seorang yang miskin. Layak menerima zakat kerana rezekinya tiada sumber yang tetap. Istilahnya dia miskin tapi kaya. Kaya tapi miskin. Peribadi beginilah yang dilahirkan oleh Islam yang selamat di dunia dan tiada hisab di Akhirat. Sebab yang kaya bukan peribadi tapi jemaahnya. Masyarakat boleh menumpang kekayaannya.

Realiti hidup Abuya Ashaari Muhammad sebenarnya tidaklah beliau itu berusaha keras untuk kehidupan dunianya. Sementelahan dia sudah pun berumur 70 tahun. Sakit-sakit pula. Dia tiada rumah sendiri, tiada wang di bank, tiada harta, keretanya pun bukan milik peribadi. Aktivitinya cuma mengeluarkan minda-minda (buah-buah fikiran) dan beribadah. Namun peribadinya, keluarga dan jemaahnya kelihatan begitu kaya.

13. Orang yang sayang terlalu sayang, yang benci terlalu benci

Orang yang sayang padanya terlalu sayang. Manakala yang benci terlalulah benci. Sayangnya orang kepadanya sampai sanggup berkorban habis-habisan dan hidup mati digunakan untuk ikut membantu perjuangannya. Komitmen begini membolehkan Abuya Ashaari Muhammad membangunkan jemaahnya tanpa meminjam dengan bank dan tidak berhutang. Taat setia yang dibuktikan oleh pengikut begitu luar biasa hinggakan semua arahan beliau untuk perjuangan Islam semua terlaksana.

Sebaliknya, bagi mereka yang benci pula tidak mampu mengawal diri kerana rasa benci yang keterlaluan (hingga sanggup menyihir Abuya dan pengikutnya) adalah kerana Allah mahu dedahkan musuh-musuh atau penentang-penentang itu semuanya.

Juga supaya mereka dapat menilai diri dan masyarakat juga dapat menilai, setelah menghancurkan jemaah Abuya, mana jemaah perjuangan mereka yang boleh mereka buat  lebih baik lagi, demi agama, bangsa dan negara Islam?

Kebenaran yang Abuya zahirkan cukup indah, mampu menawan hati setiap insan. Kalau ada yang benci, hanyalah kerana orang itu tidak mampu melawan hasad dengkinya. Rasulullah SAW itu, kebenaran yang dibawanya, keselamatan yang ditawarkannya jauh lebih hebat, terserlah bersama mukjizat-mukjizat yang begitu besar, pun masih ada yang menolak dengan penuh hasad dengki. Maka tidak peliklah kalau hal itu juga berlaku kepada Abuya.

14. Doanya selalu dikabulkan Tuhan

Sewaktu ISA, Abuya dihantar ke Bandar Country Homes, Rawang yang di waktu itu masih gersang dan majoriti penduduk di situ adalah kaum Cina. Oleh kerana Abuya sangat memperjuangkan Tuhan dan wibawa agama Islam, maka Abuya telah berdoa kepada Tuhan:

“Ya Allah, jadikan aku orang yang kaya untuk mewibawakan agama-Mu.”
Benar-benar Tuhan telah mengabulkan doanya. Di saat ramai lepasan-Iepasan ISA hidup melarat, Abuya waktu dalam ISA lagi dikayakan oleh Tuhan sehingga dikagumi oleh orang Islam dan bukan Islam di sekelilingnya waktu itu. SB yang memantau Abuya dan musuh-musuh Islam kehairanan memikirkan bagaimana seorang yang masih di dalam tahanan ISA, ditinggalkan seorang diri bersama empat isteri dan 30 orang anak dapat bangun semula membina empayar perniagaan dan jemaahnya.

Abuya sangat mendoakan pengikut-pengikutnya sehingga mereka dipimpin secara rohani dan dimudahkan untuk membaiki diri dan berjuang di jalan Allah. Abuya mendoakan musuh-musuhnya.

Berbuat baik sekalipun kepada orang yang berbuat jahat kepadanya. Sehingga ada musuh-musuh dan penentangnya yang akhirnya berbaiah kepadanya.

Pada Abuya sebenarnya Tuhan menganugerahkan ‘power’ maknawiah yang dengan power itulah doanya selalu dimakbulkan dan berlakunya keajaiban-keajaiban dalam kepimpinannya. Inilah antara karamah-karamah yang Tuhan anugerahkan kepada para kekasih-Nya.

15. Abuya pejuang kasih sayang

Abuya sangat mempraktikkan kasih sayang. Malah Abuya melancarkan era kasih sayang yang berjalan beberapa tahun lamanya. Agenda kasih sayang menjadi keutamaan untuk direalisasikan dalam jemaahnya. Terkenallah perjuanganny.a dengan tema: Dakwah dan kasih sayang. Abuya adalah bapa kasih sayang.

Kasih sayangnya begitu ketara. Walaupun ditohmah dan difitnah, Abuya tidak melatah atau melenting. Kalaupun Abuya hendak menjawab tuduhan-tuduhan itu, beliau menulisnya dengan membawa hujah ilmiah serta penuh hikmah tanpa memalukan sesiapa.

Sewaktu beliau ditangkap secara ekstradisi, Abuya dan para pengikutnya seorang pun tidak memberontak bahkan pihak polis yang datang membuat serbuan ke premis-premis Arqam dilayan dengan baik. Di dalam ISA pun Abuya sangat memberikan kerjasama bahkan boleh berkeluarga pula dengan pihak keselamatan. Abuya tidak berdendam dengan kejahatan orang kepadanya malah dia mendoakan musuh-musuhnya.

Bahkan di Barat yang amat memusuhi Islam serta menganggap Islam agama keganasan, rombongan penasyid Mawaddah yang dihantar oleh Abuya pada tahun 2003 ke seluruh Eropah dilayan dengan mesranya.

Walhal peristiwa 11 September 2001 di WTC, New York, masih menghantui masyarakat Barat ketika itu.

Alhasil Mawaddah diterima menyebarkan sayapnya ke seluruh Eropah terutama England, Jerman dan Perancis. Di setiap border antara negara-negara itu Mawaddah dilayan keluar masuk dengan penuh kemesraan. Rupanya Barat menerima pendekatan dakwah Abuya yang membawa kasih sayang dan sangat menghargai wanita.
Thailand yang sememangnya menerima Abuya dan jemaahnya bergelanggang di negaranya, telah ‘meminta bantuan’ Abuya apabila nienerima tekanan dari Amerika yang menganggap di negara Thailand terdapat Islam berbentuk keganasan ekoran dari suasana tegang di Selatan Thai itu.

Maka suatu program negara bertajuk ‘Islam Kasih Sayang’ yang diisi oleh Rufaqa (wakil duta Amerika di Bangkok turut hadir) telah melenyapkan ketegangan tersebut.

Begitulah juga yang berlaku di Australia, John Howard, Perdana Menteri Australia menyebut dalam ucapannya bahawa adanya Islam kasih sayang setelah menonton persembahan ‘Islam Kasih Sayang’ oleh Mawaddah di Australia.

Jelaslah bahawa keupayaan pembaharuan yang ditunjukkan oleh Abuya dalam kepimpinan dan perjuangannya ini melayakkan beliau digelar mujaddid. Kemampuannya memperkenalkan dan memperjuangkan Imam Mahdi menjadikan beliau layak digelar Al Fata At Tamimi. Sebab menurut Hadis, orang yang benar-benar kenaI Imam Mahdi itu ialah Al Fata At Tamimi, orang kanan kepada Imam Mahdi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.