ABUYA HAJI ASHAARI Muhammad adalah seorang pemimpin dan pejuang yang sangat gigih dan kuat cita-citanya untuk mengembalikan manusia kepada Allah SWT, Tuhan pencipta. Beliau begitu serius melahirkan role model Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang selamat dan menyelamatkan. Islam menjadi cita-citanya sejak kecil hingga kini. Perjuangan beliau memimpin jemaah Islam telah menjangkau 40 tahun.
Allah SWT telah mentakdirkan Abuya dapat jadi pemimpin sebuah jemaah Islam yang begitu besar pengaruhnya di dalam dan di luar negara. Kehadiran Abuya dan jemaahnya sedang mendapat perhatian istimewa dari dalam dan luar negara oleh rakyat dan penguasa-penguasa negara. Walhal hari ini kebanyakan pemimpin-pemimpin Islam lain telah dilupakan dan tidak diambil pusing oleh orang.
Berikut ialah senarai ciri-ciri kepimpinan yang Allah pamerkan pada dirinya yang sudah dikenal pasti yang mana semua ciri-ciri ini adalah berpunca daripada ilham yang Allah berikan kepadanya.
1. Abuya berjuang di awal kurun
Sebagaimana Hadis Nabi SAW yang memberitahu bahawa setiap awal kurun pasti zahir seorang mujaddid maka tokoh tersebut sepatutnya sudah zahir dan berperanan. Memandangkan kita kini berada di penghujung awal kurun, sepatutnya umat Islam sudah mencari mujaddid tersebut dan berada di bawah pimpinannya kerana mujaddid adalah pemimpin yang Tuhan lantik yang mana manusia amat memerlukan pimpinannya demi keselamatan hidup di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat.
Ternyata di sekitar awal kurun ini, jika ditinjau di seluruh dunia, Abuyalah yang paling menonjol perjuangan dan kepimpinannya.
Beliau memang dipersiapkan oleh Tuhan untuk jadi pejuang sedari kecil lagi. Perjuangan Islam adalah minatnya, kesukaannya, darah dagingnya, jiwa raganya, akal fikirannya dan hidup matinya. Namun kepimpinan perjuangan Abuya yang bercorak toifah bermula pada tahun 1969 bersamaan 1389 Hijrah sewaktu umurnya 31 tahun. Setelah mendapatkan pelbagai pengajaran dan pengalaman berjuang dalam pelbagai harakah Islam, Abuya muncul ke tengah masyarakat dengan satu perjuangan gaya baru iaitu memperjuangkan dakwah dan kasih sayang di atas kaedah membaiki diri dengan taqwa.
Lahirlah jemaah Darul Arqam. Perjuangan Abuya Ashaari Muhammad pun mula membesar (sekitar tahun 1980-an) dan berkembang ke seluruh dunia. Pada tahun 80-an itu, perjuangan dan kepimpinan Abuya sangat terserlah dengan terbangunnya segala sistem hidup Islam di dalam jemaahnya seperti sistem perkampungan Islam, sistem pendidikan Islam, sistem ekonomi, sistem kebudayaan, media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik dan lain-lain.
Setelah melalui pelbagai ujian dan dugaan, Abuya kini muncul lagi dengan lebih gagah melalui wadah Rufaqa Corporation Sdn Bhd. Perjuangan Abuya hingga kini mencecah hampir 40 tahun di mana graf kepimpinan perjuangan Abuya sentiasa mendaki anak-anak tangga meniti dan menelusuri jadual Allah.
2. Kenaikan kepimpinan secara nature
Abuya memimpin Darul Arqam selama 25 tahun tanpa ditukar ganti pemimpinnya. Ini kerana dia dijadikan pemimpin dalam jemaahnya bukan hasil undian, tapi diterima oleh hati pengikut-pengikutnya. Sistem tukar ganti pemimpin setiap beberapa tahun atau tempoh-tempoh tertentu, tidak berlaku kerana pengikut atau anak muridnya tidak ada seorang pun yang mahu atau mampu mengambil alih jawatan itu. Ada yang pernah cuba mencabar seperti Akhbar Anang, Mokhtar Yaakub dan Abdul Halim Abbas, tetapi mereka kecundang dengan sendirinya.
Bahkan musuh-musuh yang cuba mengharamkan dan menghancurkan peIjuangannya hingga pernah menjadikannya tinggal seorang, terkejut bilamana manusia tetap datang seorang demi seorang menyerah diri kepadanya untuk dipimpin dan dididik.
Hingga ke hari ini semakin ramai manusia dari golongan atasan, pertengahan dan bawahan datang berbaiah kepadanya dan meminta pimpinannya.
3. Abuya manusia paling cinta dan takutkan Tuhan
Di waktu manusia sudah tidak pedulikan Tuhan kerana terlalu cintakan dunia, Abuya Ashaari Muhammad meletakkan Allah SWT sebagai cinta agungnya. Dengan kata lain, hidup matinya semuahanyalah untuk Tuhan dan kerana Tuhan. Ini dapat dilihat dalam jadual dan program hidup hariannya, sepenuh masanya adalah dengan Tuhan.Sebagai contoh, umumnya, siapa yang mengenalinya akan tertarik dengan peribadi beliau yang istiqamah sepanjang hidupnya berada awal sekitar 15 minit di sejadah menunggu waktu solat. Beliau juga tidak pernah tinggal solat berjemaah serta tahajud. Kecintaannya pada Tuhan itu dapat dilihat dalam dua bentuk:
Pertama: Beliau berhabis-habisan dalam mempromosikan Tuhan melalui kuliah rasmi dan tidak rasmi, di dalam tulisan-tulisan beliau, melalui lirik-lirik nasyid karangan beliau serta melalui sistem hidup menurut kehendak Tuhan yang dia bangunkan dalam jemaahnya, yang mana manusia akan dapat melihat kebesaran Tuhan dan keindahan ajaran Islam.
Kedua: Bagi orang yang bergaul dengannya, mereka dapat melihat beliau sangat membesarkan dan mengutamakan kehendak-kehendak Tuhan dalam hal ibadah dan akhlak. Beliau adalah seorang yang zuhud, sabar, berani, pemurah, kasih sayang, tawakal, tawaduk, pemaaf, pemalu, menghormati tetamu, membela jiran, menjaga kebajikan pengikut-pengikutnya dan menziarahi manusia.
Beliau mendoakan musuh-musuhnya dengan kebaikan. Orang menuduh beliau mengambil kepentingan dan menzalimi anak buah. Walhal hakikat sebenarnya dia seorang pemimpin yang sanggup miskin dan susah demi untuk membela orang lain apatah lagi terhadap anak buahnya sendiri.
4. Abuya mendapat ilmu ilham
Rasulullah SAW diberi gelaran ummiy adalah kerana baginda diberi hati oleh Allah yang mampu mengambil terus ilmu dari Allah (melalui malaikat Jibril), tanpa perlu melalui proses membaca dan menulis. Waktu itu gemparlah dunia Arab, Rom dan Farsi melihat seorang yang tidak masuk ’sekolah’ tapi menjadi manusia yang luar biasa kepandaiannya. Demikianlah Tuhan hendak menunjukkan kuasaNya melalui orangNya.Demikian juga Abuya Ashaari Muhammad, seorang yang tidak punya ’sijil’ tapi ilmunya amat luas. Walaupun diperkecilkan orang alim zamannya tentang dirinya yang dikatakan tiada autoriti keilmuan, namun tidak ada orang yang dapat menolak ilmunya yang cukup global itu dan mampu menyuluh semua aspek kehidupan. Ilmu itu pula bukan hanya tinggal sekadar ilmu tetapi zahir sebagai sistem hidup Islam yang dipraktikkan olehnya dan jemaahnya. Beratus-ratus tajuk buku dan kuliah serta ribuan sajak dan madah sudah Abuya keluarkan. Kuliah-kuliah serta ceramah-ceramah dakwah dan tarbiahnya pula berbagai-bagai tajuk, semenjak beliau muda hinggalah ke umur tuanya. Setiap minggu Abuya Ashaari Muhammad membawa tajuk baru kepada pengikutnya. Ilmunya ternyata bertambah-tambah dan berkembang-kembang dari masa ke semasa.
Walaupun sebahagian bukunya diharamkan tapi jelas itu ialah program politik negara.
Walhal secara ilmiah, ilmu Abuya sudah diiktiraf oleh doktor-doktor PhD. Misalnya, Tesis Dr. Tasman Ya’cub yang bertajuk ‘Dakwah Islam Dalam Perspektif Haji Ashaari Muhammad’ telah dibahaskan dan diluluskan oleh tujuh orang ilmuan besar Indonesia.
5. Abuya dianugerahkan karamah
Kepada para mujaddid yang memimpin dan mendidik manusia, biasanya Allah berikan karamah maknawiah untuk memudahkan mereka membawa masyarakat kepada Allah SWT.
Terlalu banyak karamah yang Allah perlihatkan kepada Abuya Ashaari Muhammad.
Antaranya:
Ketika Abuya ditahan oleh kerajaan menggunakan ISA, Abuya Ashaari Muhammad tidak melawan bahkan memberi kerjasama. Beliau amat yakin bahawa Allah pasti menguji pejuang-pejuang sebelum diberi kemenangan. Ujian itu pula adalah penghapusan dosa, manakala penentang akan terhukum dengan sendirinya.
Setelah dibebaskan dari lokap, Abuya menubuhkan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd sebagai wadah baru perjuangannya sedangkan Abuya masih dalam tahanan ISA (RO). Akhirnya dalam masa 10 tahun, Rufaqa Corporation menjadi jauh lebih gagah daripada Arqam yang telah dihancurkan itu. Walhal sepatutnya jemaahnya tidakmungkin hidup kembali. Namun melalui proses ISA, Allah menjadikan perjuangan Abuya lebih laju dari sebelumnya.
Selepas ISA, Allah takdirkan Abuya Ashaari Muhammad sakit kuat. Dalam keadaan dirinya yang terlantar sakit itu lebih-lebih lagilah tidak mungkin pengaruhnya membesar. Namun kenyataannya Abuya Ashaari Muhammad mendapat pengaruh yang cukup besar sama ada di dalam dan di luar negara, sama ada dari kalangan orang biasa mahupun tokoh-tokoh kenamaan, tokoh-tokoh korporat, golongan profesional, pemimpin masyarakat, artis dan lain-lain.
Ini membuktikan bahawa usaha manusia bukan memberi bekas, tapi kuasa Tuhanlah yang mampu memberi kesan.
Kalaulah tokoh-tokoh lain sama ada pemimpin, usahawan, jutawan,ilmuan, karyawan, budayawan atau lain-lain, di tangan mereka terjadinya pembangunan dan kemajuan material yang luar biasa namun belum ada di antara mereka yang mampu membina kemajuan sepertimana yang dibangunkan oleh Abuya.
Sebagai contoh, Abuya berjaya membangunkan ‘bandar’ yang lain dari yang lain iaitu sebuah bandar dengan sistem hidup yang memasukkan Tuhan dan Akhirat sebagai imbangan dan praktikal. Yakni Abuya dapat membangunkan material dan rohani sekaligus. Walaupun pembangunan materialnya tidaklah bersaiz besar tetapi sistem bermodalkan Tuhan menjadi model yang boleh ditiru, diambil dan diperjuangkan oleh semua golongan.
barokah said
Alhamdulillah..terima kasih ya Tuhan.
Akhirnya terbit juga buku ini dalam versi internet. Moga lebih ramai manusia akan dapat membacanya dan memahami siapa Putera Bani Tamim dan peri pentingnya figure ini dicari untuk berbaiah sebelum tibanya khalifah yang di tunggu-tunggu iaitu Imamul Mahdi.